BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, July 23, 2010

SNEAK PEEK

Kisah Laila dan Majnun, Uda dan Dara atau Romeo dan Juliet, yang mana satukah yang dijadikan rujukan untuk kisah Kiki dan Jimi? Tidak ada satu kisah pun yang sesuai untuk menggambarkan mereka berdua. Sikap mereka bagaikan anjing dan kucing. Pantang berjumpa, pasti akan mula perkelahian mereka. Berlarutan sehingga sahabat masing-masing sudah tidak dapat meleraikan pertengkaran mereka. Sudah lama Kiki Mastura menyimpan perasaan pada seorang lelaki yang bisa membuatkan hatinya bergetar di saat mereka bertembung pandang. Tetapi lelaki itu tidak bisa menyintai Kiki seperti mana perasaan gadis itu terhadapnya. Bagi, lelaki yang dikenali sebagai Asrul Imran itu, Kiki hanyalah sahabat dan tidak lebih dari itu. Tidak mungkin dia punya perasaan yang lebih daripada seorang sahabat kerana hati Asrul Imran sudah lama terpaut pada keayuan dan kelembutan serta keanggunan, Lala Marlisa. Sedikit terasa dengan sikap Asrul yang seringkali berubah setiap kali dia berhadapan dengan Lala, Kiki cuba menjauhkan diri. Dia dapat merasakan cinta Asrul hanya untuk Lala. Tetapi ada satu rahsia Lala yang cuba disembunyikan oleh Kiki dari pengetahuan Asrul. Lelaki itu cuba memaksa Kiki memberitahu perkara sebenar. Tetapi perkara yang sudah diamanatkan oleh kakak kembarnya itu, tidak mungkin untuk Kiki membocorkannya. Bagi Kiki, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
Syed Mohd Hazimi atau lebih dikenali sebagai Jimi, adalah anak kepada pasangan pereka landskap terkenal, Syed Hatim dan Syarifah Faridah. Jimi merupakan anak sulung kepada pasangan itu dan mempunyai 3 orang adik; Syarifah Natasha, Syed Mohd Hazam dan Syarifah Lela Analia. Atas sebab persahabatan yang sudah lama terjalin di antara Syarifah Faridah dan Hajjah Normah, mereka bersetuju untuk mengahwinkan anak mereka, Jimi untuk dijadikan suami Lala. Setelah segala persiapan pertunangan berjalan dengan lancar, Lala lari dari rumah tanpa khabar. Tidak langsung memaklumkan kepada Kiki kemana dia pergi. Yang Lala tahu, dia harus pergi jauh dari situ. Tidak mahu menjadi tunangan kepada orang yang tidak dicintainya. Dia masih mahu mengejar impiannya yang satu. Kiki agak terkejut dengan tindakan drastik Lala itu.
Untuk tidak mahu memalukan keluarga Syed Hatim dan Syarifah Faridah, Kiki bersetuju untuk mengambil alih tempat Lala setelah berkali-kali dipujuk rayu oleh Hajjah Normah. Menjadi pengganti kepada kakak kembarnya itu. Bertunang dengan Jimi bukanlah impian Kiki. Dia hanya ingin menjadi isteri kepada Asrul. Tetapi apakan daya, lelaki itu bukanlah jodohnya. Satu kampus sudah tahu akan kisah pertunangan ‘spontan’ yang terjadi diantara Kiki dan Jimi. Maka bermulalah kisah kehidupan Kiki dan Jimi.
Jimi dikenali sebagai buaya darat atau lebih spesifiknya, kaki perempuan. Kesemua perempuan di kampus itu cuba digodanya dan seringkali berjaya kerana Jimi mempunyai kriteria idaman wanita. Kacak, bergaya, dan juga dari golongan orang yang berada. Mempunyai kereta mewah. Tetapi hanya satu wanita sahaja yang berada di dalam hatinya iaitu Lala Marlisa. Kiki langsung tidak mahu mengambil tahu akan aktiviti tunangannya itu. Bagi Kiki, selagi mereka belum berkahwin, mereka bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
Satu hari, mereka dipaksa oleh keluarga kedua belah pihak untuk makan malam bersama kerana mereka seringkali tidak kelihatan bersama. Jadi, ibubapa masing-masing dapat menghidu akan perhubungan yang berjalan tidak lancar itu. Segera mereka membuat perancangan untuk Kiki dan Jimi makan malam bersama di sebuah hotel. Kiki yang didandan oleh Syarifah Natasha, kelihatan sangat anggun pada malam itu. Berlainan sekali dengan Kiki yang dikenali oleh Jimi. Terpegun dengan kecantikan Kiki itu, Jimi mula merasakan sesuatu yang tidak kena di dalam dirinya. Kiki juga berperasaan yang sama.
Kepulangan Lala telah menyebabkan Kiki berasa kurang senang. Bukan tidak gembira dapat berjumpa dengan Lala tetapi ada sesuatu yang menyebabkan Kiki berperasaan sebegitu.
Apakah perasaan yang dialami oleh Kiki dan Jimi dapat dilaksanakan dengan sebuah ikatan perkahwinan? Adakah kepulangan Lala akan menyemarakkan semula cinta Jimi yang pernah ada pada gadis itu? Adakah Kiki akan melepaskan Jimi dan membiarkan lelaki itu berlari ke dalam pelukan Lala? Semuanya akan terjawab dalam kisah KIKI & JIMI.

Jangan lupa untuk berikan komen ya.