BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 14, 2010

PART 1

I’ve been alone with you, inside my mind


BUNYI kicauan burung menenangkan hati yang tidak tenang. Gundah-gulana. Pandangan dilemparkan ke arah tasik menghadap taman. Tempat kebiasaan untuk dia menenangkan fikiran. Pokok yang kehijauan merimbun, menampakkan lagi kesegaran taman itu. Bunyi unggas hutan juga tidak ketinggalan. Jika boleh, ingin sahaja dibuat khemah dan tidur disitu. Biarlah dijadikan taman itu rumah keduanya. Dipejamkan mata. Menghirup kesegaran angin yang berhembus damai. Alangkah indah jika hidupnya sedamai itu. Tiada yang dapat melukakan hatinya. Tiada yang dapat menyuruh dia membuat itu dan ini. Telefon bimbit berbunyi nyaring membingitkan telinga. Mematikan segala anganan yang baru sahaja menerjah masuk. Dengusan demi dengusan keluar dari hidung. Otaknya berpusing memikirkan sebanyak 2 tugasan yang harus disiapkan sebelum tarikh tamat untuk menghantar tugasan. Mengetap gigi. Geram mendengar lagu Nobody nyanyian Wondergirls, bingit. Segera membuka beg galas dan mencari telefon bimbit yang terbenam jauh ke dasarnya. Satu lagi dengusan dilepaskan. Nama yang tertera di skrin, menyakitkan hati sahaja. Sudahlah orang banyak tugasan hendak disiapkan. Dia ini, tidak habis-habis hendak menelefon. Lambat-lambat menekan butang hijau.
“Assalamualaikum.” dia menjawab malas.
“Mana Ki pergi? Im cari satu kampus, tau.” Terjah si pemanggil tanpa menjawab salam yang diberi. Keluh lelaki si pemanggil di hujung talian.
Digaru kepala yang tidak gatal. Tidak faham lagikah bahawa dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu. Buat sakit hati sahaja.
“Kot iya pun, jawablah salam dulu.” Sindir si gadis. Lelaki itu terdiam.
“Sorry...sorry. Waalaikumussalam.” Terkulat-kulat dia menjawab.
“Mana Kiki pergi tadi? Lepas kuliah, Im ingat nak ajak Ki makan. Tengok-tengok aje Ki dah hilang.” Si pemanggil mula merendahkan intonasi suaranya. Tidak seperti mula tadi yang bagaikan orang kerasukan.
“Encik Asrul Imran, penting ke untuk aku beritahu kau ke mana je aku nak pergi?” bidas si perempuan pula. Terdengar keluhan kecil dari Asrul.
“Cik Kiki Mastura. Kau tu kawan aku. Penting lah untuk aku tahu ke mana kau pergi.” Balas Asrul. Hanya Kiki sahaja yang memanggil Asrul dengan panggilan Im.
Kiki terdiam. Teringat kembali kata-kata Asrul membuatkan dia sakit hati. Terluka, berdarah, bernanah. Entah bermacam jenis lagilah luka yang menghiris tangkai hatinya.
“Lala mana? Puas Im cari dia. Dia tak datang kelas ke hari ni?” Kiki tidak menjawab soalan Asrul itu.
Hatinya tiba-tiba terasa sebal. Asyik-asyik nama Lala sahaja yang menjadi sebutan Asrul. Terasa ingin dicampak sahaja telefon itu sambil membayangkan wajah Asrul yang dicampaknya. Biar puas hati. Tetapi tidak mungkin dia sanggup membuang Blackberry kesayangannya itu. Puas dia memujuk abang sulung, Kamal Mazrin untuk membelikan Blackberry tersebut pada hari jadinya yang baru sahaja lepas.
“Entah. Aku bukannya ‘jaga’ dia pun yang nak kena tahu mana je dia pergi. Kau telefonlah dia.” Kiki menjawab malas. Dipegang dada yang terasa seperti hendak meletup. Sekali lagi Asrul melepaskan keluhan.
“Ki, dia kan kakak kau. Mestilah kau tahu mana dia pergi.” Paksa Asrul lagi.
Kiki mula naik bosan. Kiki dan Lala adalah dua adik beradik kembar yang kemana sahaja pasti bersama. Asrul bingung memikirkan tentang ‘kehilangan’ Lala yang sudah berminggu dia tidak berjumpa. Apabila dia menelefon sahaja, pasti panggilannya masuk ke pesanan peti suara. Perlukah Kiki memberitahu perkara sebenar kepada Asrul?
“Aku betul-betul tak tahulah, Im. Cubalah kau tanya Puteri Santubong tu. Dia kan kawan baik dengan Lala. Okaylah. Aku banyak lagi assignment nak siapkan. Bye. Assalamualaikum.” Sela Kiki. Salam Kiki hanya dijawab dalam hati. Merenung kosong ke arah telefon bimbit apabila talian dimatikan.
Sejak Kiki dan Lala memilih untuk pergi ke jurusan dan haluan yang berbeza, Lala sudah tidak banyak masa untuk diluangkan bersama Kiki. Dia lebih seronok berkawan dengan Tengku Asmida, yang juga dikenali sebagai Puteri Santubong kerana dia selalu perasan dapat berkawan dengan Lala yang cantik jelita. Dan, juga perasan dirinya itu cantik. Kiki dan Lala mempunyai perwatakan dan penampilan yang sangat berbeza. Lala, tinggi lampai persis seorang model. Kulit putih kemerah-merahan, sentiasa dijaga kecantikan kulitnya itu. Baju yang disarungkan di badan, selalunya ‘up to date’. Tidak pernah ketinggalan zaman jika dia berfesyen. Wajahnya selalu dirias setiap kali hendak menghadiri kuliah atau pun bersantai bersama teman-teman rapat. Lala sememangnya gadis paling popular tidak kiralah samada di sekolah atau pun kolej. Setiap lelaki pasti mahu mendampingi Lala Marlisa. Cakapnya lemah-lembut, sopan. Dan senyuman Lala pasti membuatkan ramai lelaki cair melihatnya. Berlesung pipit sebelah kanan.
Berbeza dengan Kiki. Rambut yang dahulunya panjang melepasi bahu, dipotong pendek. Sependek rambut pelakon Hollywood, Carey Mulligan. Artis kelahiran Britain yang popular dengan filem An Education. Tindakan Kiki itu menimbulkan kemarahan ibunya, Hajjah Normah. Sudahlah berperwatakan seperti lelaki. Jika disimpan rambut panjang, adalah sedikit ciri-ciri keperempuanan. Berkulit sawo matang. Lebih suka memakai jeans dan juga T-shirt. Senang baginya untuk melakukan sebarang pergerakan atau aktiviti. Tidak suka menyolek wajah yang tersedia dengan kecantikan semulajadi. Kiki seorang yang simple. Mempunyai tahi lalat dibawah bibir sebelah kanan, memaniskan wajahnya walaupun dia berperawakan seperti lelaki. Jika lesung pipit Lala di sebelah kanan, lesung pipit Kiki di sebelah kiri. Setiap kali dia tersenyum, manis sahaja kelihatannya. Memang Kiki akui, dia tidak terkenal seperti Lala.
“Hey, noks. Berangan kau kat sini kan.” Seseorang menegur Kiki yang sedang termenung jauh. Kiki mengangkat wajah dan memandang sekujur tubuh dihadapannya. Tersenyum sumbing.
“Seorang je kau, Ferra? Mana Misya?” soal Kiki apabila tidak kelihatan bayangan Damisya dimana-mana.
Selalunya Ferra atau nama sebenarnya Farid Azmi akan berkepit dengan Damisya kemana sahaja. Jika Ferra tidak berkelakuan seperti sotong tidak ada pinggang ini, pasti orang sangkakan bahawa Ferra dan Damisya adalah pasangan kekasih. Ferra melabuhkan punggung dihadapan Kiki.
“Belum habis kelas lagi. Kejap lagi dia join, katanya. Apa yang kau berangankan tadi tu? Cuba story kat ‘mak’. Manalah tahu ‘mak’ boleh tolong.” Tukas Ferra. Dia memang suka menggelarkan dirinya ‘mak’. Kiki dan Damisya sudah biasa dengan keadaan Ferra itu. Kiki melepaskan keluhan.
“Tak ada apa-apalah, Ferra. Aku okay je.” Kiki melarikan pandangan apabila Ferra cuba menentang matanya.
Bukan boleh dipercayai si Ferra ini. Suka sangat membaca reaksi orang melalui pandangan mata. Almaklumlah baru sahaja mengambil subjek Psychology untuk semester ini.
“Apa yang kau tenungkan?” soal Kiki tidak selesa. Membetulkan duduknya. Ferra tersenyum sinis.
“Storylah kat ‘mak’. Jangan sembunyi-sembunyi lah. Dah berapa tahun ‘mak’ kenal kau? Dari sekolah, okay.” Ferra masih cuba mengorek rahsia hati Kiki. Gadis dihadapannya itu menundukkan wajah. Sememangnya dia tidak dapat menyembunyikan rahsia hati dari Ferra.
“Ini mesti pasal si...Asrul Imran tu lagi kan?” meninggi suara Ferra. Pantas Kiki mengangkat wajah. Menekup mulut Ferra. Matanya dijegilkan. Ferra menepis tangan Kiki. Dilap mulutnya bersungguh-sungguh.
“Wei, busuklah tangan kau tu. Makan sambal belacan tak cuci betul-betul ke?” Ferra menyindir geram. Kiki mencium kedua-dua belah tangannya. Memang ada bau sambal belacan. Kiki tersengih kerang.
“Pakailah sudu garfu lain kali kalau tak reti nak cuci betul-betul.” Sekali lagi Ferra menyindir. Kiki mencebik.
“Aku orang melayulah. Mestilah makan pakai tangan. Bukan macam kau tu. Makan ayam goreng Mak Cik Dilah kat cafe pun nak pakai sudu garfu. Konon orang Barat. Tak sedar rambut hitam jugak.” Pedas sekali Kiki menyindir kembali. Ferra menyengih.
“Cepatlah story.” Gesa Ferra. Kiki mendengus kuat. Sudah seperti seekor seladang, gayanya.
“Tak ada apa-apalah. Kenapa kau nak tahu sangat ni?” Kiki mula tidak selesa.
“Kau ni perangai je gagah perkasa, tapi baru je orang bolayan sikit dah nangis.” Perli Ferra. Dikeluarkan komputer riba dari beg galas yang dibawanya.
“Gagah perkasa aku ni pun, tetap dalam hati ada taman tau.” Kiki memegang dadanya. Ferra tergelak kecil. Kalau berlawan kata dengan Kiki, jangan haraplah hendak menang.
“Motif dalam hati ada taman? Kenapa? Si Asrul tu cari Lala lagi ke?” Ferra menebak. Tersentak Kiki dengan soalan Ferra itu.
“Tak adalah. Dia cari aku je.” Selindung Kiki. Dari ekor matanya, kelihatan Ferra sedang tersenyum sinis.
“Ki…kau nak tipu orang lain bolehlah. Ini Ferra tau. Aku kenal kau dari sekolah menengah lagi. Dari tingkatan 1. Aku tahu kalau kau tengah susah hati pasal si Asrul tu.” Sakit jiwa Ferra dengan Kiki.
Gadis itu memang pandai menyimpan rahsia. Buatlah bermacam cara sekalipun, jika Kiki tidak mahu menceritakan apa-apa, usahlah berharap mulutnya akan terbuka.
“Aku okaylah, Fer. Kau tak payah risau pasal aku.” Kiki masih berdalih. Ferra melepaskan keluhan kasar.
“Kenapalah kau ni asyik nak bela si Asrul tu?” Ferra menghamburkan kemarahan. Sudah tidak tahan melihat sikap Kiki yang tidak habis asyik membela Asrul.
“Aku tak bela dialah.” Kiki mengeluh bosan.
“Habis?” suara Ferra mula meninggi. Orang ramai yang lalu-lalang di kawasan tersebut, memandang ke arah mereka berdua. Ferra terdiam apabila melihat wajah cemberut Kiki.
“Ki...kau tentu ingat kisah 4 tahun dulu, kan. Asrul dah luahkan segala-galanya. Dalam hati dia, tak ada tertulis pun nama kau tau. Yang diingatnya, hanya Lala saja.” Ferra tidak mahu mengecilkan hati Kiki tetapi itulah hakikatnya. Fikiran Kiki terlayang mengimbas kembali peristiwa 4 tahun lalu.



4 tahun sebelum....

“KI...aku dengar Asrul dah mula jatuh cinta.” Ujar Damisya semasa mereka sudah melabuhkan punggung di kantin untuk menjamu selera tengah hari. Wajah Kiki mula membahang.
“Iya?” tersipu Kiki menahan wajahnya yang memerah.
“Siapa?” mata Kiki bersinar. Perasaan ingin tahu siapakah yang menjadi pujaan hati Asrul.
“Entahlah. Aku pun tak tahu.” Damisya menyambung kata.
“Tapi aku dengar kata dia nak luahkan perasaan dia hari ni.” Damisya berkata lagi.
“Mana kau tahu?” bertambah teruja Kiki bertanya.
“Hezlin...dia kan girlfriend kawan baik Asrul tu...apa ke namanya?” Damisya cuba mengingati nama sahabat baik Asrul itu.
“Ariff?”
“Hah...yang tu lah. Asrul cerita kat Ariff. Lepas tu, Ariff terlepas kata kat Hezlin.” Damisya menceritakan kembali apa yang diceritakan oleh Hezlin kepadanya.
“Eh, okaylah Ki. Aku kena masuk kelas dulu ni.” Damisya berkata sambil melihat jam di tangan.
“Aaa...aaa...okay.” tergagap Kiki mengia.
Sempat Misha memberi isyarat mata ke arah Kiki apabila terperasan akan kelibat Asrul mendekati Kiki. Tersipu Kiki menahan malu.
“Ki...Im nak cakap sikit dengan Ki ni.” Ujar Asrul lembut. Kiki mendongak memandang Asrul.
“Apa...apa...dia? Cakaplah.” Kiki menahan getar dihati.
“Kita cakap kat tempat lain. Tak sesuai nak bercakap kat sini.” Pinta Asrul bersungguh. Menarik lengan Kiki untuk membuntutinya.
“Kita nak kemana ni, Im?” tergesa Kiki mengikut rentak langkah Asrul.
Tanpa sebarang kata, Asrul menuju ke arah taman berdekatan. Melepaskan genggaman lengan Kiki. Gadis itu mengusap lengannya perlahan apabila terasa cengkaman kuat dari Asrul.
“Apa yang Im nak cakapkan ni? Kelam kabut je.” Terjuih bibir Kiki berkata-kata.
“Im....Im...” Asrul tidak jadi meneruskan kata. Peluh jantan memercik di dahi. Hati Kiki berdebar-debar menanti setiap bicara yang ingin diluahkan oleh Asrul.
“Cakap jelah. Apa dia?” Kiki menggigit bibir. Asrul menarik dan melepaskan nafasnya perlahan. Harus juga diluahkan apa yang membelenggu perasaannya.
“Im...Im rasa...Im rasa dah mula cintakan seseorang.” Akhirnya terluah jua apa yang ada di fikiran Asrul.
Hati Kiki berbunga bahagia. Bibirnya mengukirkan senyuman kecil. Wajah memerah serasanya tidak dapat disembunyikan lagi. Tersipu Kiki menundukkan wajah.
“Im rasa Im dah jatuh cinta pada....” ayat Asrul sekali lagi tergantung. Tidak sabar Kiki hendak mendengar ayat seterusnya daripada Asrul.
“...Lala.” sambung Asrul. Terus mati senyuman yang makin melebar di wajah Kiki. Kenapa nama Lala harus disebutnya?
“Lala?” sekali lagi Kiki bertanya.
“Ya, Lala. Im dah jatuh cinta pada Lala. Dulu, Im takut nak mengaku sebab Im tahu Lala dah ada boyfriend. Tapi bila Im tahu Lala dah putus dengan Ali, perasaan Im...perasaan Im kembang semacam.” Jujur Asrul meluahkan perasaan yang selama ini terbuku di hati.
“Sejak bila....Im cintakan Lala?” soal Kiki luluh. Tidak tahu hendak menggambarkan perasaannya ketika itu.
“Sejak dari sekolah. Pertama kali Im pandang Lala kat kantin. Masa tu, dia dengan Kiki. Masa dia kibarkan rambut panjang dia tu, yang buatkan Im terus jatuh cinta pada dia hari tu jugak.” Asrul berterus-terang akan perasan yang sudah disimpan sekian lama.
“Jadi, Im nak beritahu dengan Lala perasaan Im?” Kiki menyoal lagi. Dilihatnya Asrul mengangguk perlahan sambil tersenyum sipu.
“Ki harap, Im berjaya.” Selepas itu, Kiki terus berlalu pergi tanpa sempat Asrul menyambung kata.


BERSAMBUNG....

Friday, July 23, 2010

SNEAK PEEK

Kisah Laila dan Majnun, Uda dan Dara atau Romeo dan Juliet, yang mana satukah yang dijadikan rujukan untuk kisah Kiki dan Jimi? Tidak ada satu kisah pun yang sesuai untuk menggambarkan mereka berdua. Sikap mereka bagaikan anjing dan kucing. Pantang berjumpa, pasti akan mula perkelahian mereka. Berlarutan sehingga sahabat masing-masing sudah tidak dapat meleraikan pertengkaran mereka. Sudah lama Kiki Mastura menyimpan perasaan pada seorang lelaki yang bisa membuatkan hatinya bergetar di saat mereka bertembung pandang. Tetapi lelaki itu tidak bisa menyintai Kiki seperti mana perasaan gadis itu terhadapnya. Bagi, lelaki yang dikenali sebagai Asrul Imran itu, Kiki hanyalah sahabat dan tidak lebih dari itu. Tidak mungkin dia punya perasaan yang lebih daripada seorang sahabat kerana hati Asrul Imran sudah lama terpaut pada keayuan dan kelembutan serta keanggunan, Lala Marlisa. Sedikit terasa dengan sikap Asrul yang seringkali berubah setiap kali dia berhadapan dengan Lala, Kiki cuba menjauhkan diri. Dia dapat merasakan cinta Asrul hanya untuk Lala. Tetapi ada satu rahsia Lala yang cuba disembunyikan oleh Kiki dari pengetahuan Asrul. Lelaki itu cuba memaksa Kiki memberitahu perkara sebenar. Tetapi perkara yang sudah diamanatkan oleh kakak kembarnya itu, tidak mungkin untuk Kiki membocorkannya. Bagi Kiki, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
Syed Mohd Hazimi atau lebih dikenali sebagai Jimi, adalah anak kepada pasangan pereka landskap terkenal, Syed Hatim dan Syarifah Faridah. Jimi merupakan anak sulung kepada pasangan itu dan mempunyai 3 orang adik; Syarifah Natasha, Syed Mohd Hazam dan Syarifah Lela Analia. Atas sebab persahabatan yang sudah lama terjalin di antara Syarifah Faridah dan Hajjah Normah, mereka bersetuju untuk mengahwinkan anak mereka, Jimi untuk dijadikan suami Lala. Setelah segala persiapan pertunangan berjalan dengan lancar, Lala lari dari rumah tanpa khabar. Tidak langsung memaklumkan kepada Kiki kemana dia pergi. Yang Lala tahu, dia harus pergi jauh dari situ. Tidak mahu menjadi tunangan kepada orang yang tidak dicintainya. Dia masih mahu mengejar impiannya yang satu. Kiki agak terkejut dengan tindakan drastik Lala itu.
Untuk tidak mahu memalukan keluarga Syed Hatim dan Syarifah Faridah, Kiki bersetuju untuk mengambil alih tempat Lala setelah berkali-kali dipujuk rayu oleh Hajjah Normah. Menjadi pengganti kepada kakak kembarnya itu. Bertunang dengan Jimi bukanlah impian Kiki. Dia hanya ingin menjadi isteri kepada Asrul. Tetapi apakan daya, lelaki itu bukanlah jodohnya. Satu kampus sudah tahu akan kisah pertunangan ‘spontan’ yang terjadi diantara Kiki dan Jimi. Maka bermulalah kisah kehidupan Kiki dan Jimi.
Jimi dikenali sebagai buaya darat atau lebih spesifiknya, kaki perempuan. Kesemua perempuan di kampus itu cuba digodanya dan seringkali berjaya kerana Jimi mempunyai kriteria idaman wanita. Kacak, bergaya, dan juga dari golongan orang yang berada. Mempunyai kereta mewah. Tetapi hanya satu wanita sahaja yang berada di dalam hatinya iaitu Lala Marlisa. Kiki langsung tidak mahu mengambil tahu akan aktiviti tunangannya itu. Bagi Kiki, selagi mereka belum berkahwin, mereka bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
Satu hari, mereka dipaksa oleh keluarga kedua belah pihak untuk makan malam bersama kerana mereka seringkali tidak kelihatan bersama. Jadi, ibubapa masing-masing dapat menghidu akan perhubungan yang berjalan tidak lancar itu. Segera mereka membuat perancangan untuk Kiki dan Jimi makan malam bersama di sebuah hotel. Kiki yang didandan oleh Syarifah Natasha, kelihatan sangat anggun pada malam itu. Berlainan sekali dengan Kiki yang dikenali oleh Jimi. Terpegun dengan kecantikan Kiki itu, Jimi mula merasakan sesuatu yang tidak kena di dalam dirinya. Kiki juga berperasaan yang sama.
Kepulangan Lala telah menyebabkan Kiki berasa kurang senang. Bukan tidak gembira dapat berjumpa dengan Lala tetapi ada sesuatu yang menyebabkan Kiki berperasaan sebegitu.
Apakah perasaan yang dialami oleh Kiki dan Jimi dapat dilaksanakan dengan sebuah ikatan perkahwinan? Adakah kepulangan Lala akan menyemarakkan semula cinta Jimi yang pernah ada pada gadis itu? Adakah Kiki akan melepaskan Jimi dan membiarkan lelaki itu berlari ke dalam pelukan Lala? Semuanya akan terjawab dalam kisah KIKI & JIMI.

Jangan lupa untuk berikan komen ya.